Mungkin ada yang tertanya adakah begitu sekali perbandingan yang dibuat? Sebagaimana yang kita maklum perumpamaan merupakan salah satu kaedah Allah mendidik manusia untuk memahami mesej yag terkandng di dalam Al-Qur'an. Misalnya dalam surah al-Ankabut, Allah menyebutkan tentang bandingan mereka yang mengambil selain dari Allah sebagai Tuhan di dalam hidupnya
Allah berfirman yang bermaksud : "Misal bandingan orang-orang yang menjadikan benda-benda yang lain dari Allah sebagai pelindung-pelindung (yang diharapkan pertolongannya) adalah seperti labah-labah yang membuat sarang (untuk menjadi tempat perlindungannya); padahal sesungguhnya sarang-sarang yang paling reput ialah sarang labah-labah, kalaulah mereka orang-orang yang berpengetahuan".(Surah al-'Ankabut ; Ayat 41)
Saya ingin mengemukakan perbahasan yang menarik oleh Ibn Qayyim al-Jawziyyah di dalam kitab al-Amthal fi al-Qur'an tentang ayat 41, Surah al-'Ankabut. Beliau menegaskan bagaimana mereka yang mengambil pelindung dan Tuhan selain Allah adalah seumpama labah-labah yang membuat sarangnya yang memang diketahui lemah dan tidak kuat. Tambah beliau, perumpamaan ini Allah bandingkan dengan golongan kafir yang jauh dari kebenaran dan petunjuk Allah. Mereka bukan tidak tahu bahawa sembahan mereka tidak mampu mendatangkan manfaat atau mudharat kepada mereka sebagaimana mereka tahu sarang labah-labah adalah tempat perlindungan paling lemah, namun demikian, Allah sebenarnya telah menafikan ilmu mereka tentang kecenderungan mereka untuk mengambil Tuhan selain Allah sebagaimana labah-labah yang tetap juga membuat sarangnya sebagai tempat perlindungan.
Oleh itu, bila saya bandingkan roh dan jasad umpama sim card dan handset memang tepat. Cuba kita bayangkan sebuah handset yang canggih misalnya Nokia N95 yang boleh bertindak sebagai navigator dan penunjuk arah tetapi tidak dapat berfungsi kerana tiada sim card di dalamnya, sudah tentu kita tidak mampu mendapat manfaat dari handset canggih itu. Begitu jugalah seorang manusia yang mempunyai paras rupa yang cantik atau menawan dengan tubuh yang tegap atau pinggang yang ramping tetapi terbujur kaku kerana roh telah dicabut, sudah pasti jasad itu akan segera ditanam kerana dibimbangi akan mengeluarkan bau busuk.
Maksud yang ingin saya sampaikan di sini ialah, mutakhir ini ramai orang sibuk menjaga paras rupa fizikal lebih dari menjaga kesucian hati. Begitu jugalah hari ini, orang sibuk membeli handset yang canggih tetapi hampa apabila tidak dapat membuat panggilan call-out kerana kehabisan credit! Sebab itu, mereka yang bergaji besar seperti pensyarah atau doktor handsetnya kadangkala lebih koman berbanding handset seorang student universiti! Alasan yang mereka berikan "Buat apa handset mahal, yang penting asal boleh telefon orang dan orang telefon kita dan boleh tulis dan terima sms cukup"!
Sebab itu, perlu diingat, yang hanya akan menanggung siksaan atau nikmat di akhirat nanti adalah ruh semata-mata sedangkan jasad akan hancur dimakan ulat. Begitu jugalah handset yang canggih tiada kegunaannya jika tiada sim card di dalamnya. Renung-renungkanlah!